AMPANG: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan disyaki pecah masuk sebuah rumah di Taman Kosas, di sini pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu menyatakan rumahnya dipecah masuk apabila mendapati pagar utama terbuka jam 3.30 petang pada hari kejadian.

Menurutnya, pengadu seterusnya masuk ke dalam kawasan rumah dan mendapati jeriji besi pintu sliding terdapat kesan umpil.

Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah, pengadu mendapati wang simpanan dalam beg tangan telah tiada dan disyaki telah dicuri dengan anggaran kerugian lebih kurang RM1,000.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki di Jalan Prima Setapak, Kuala Lumpur pada Khamis disyaki terlibat dengan kes pecah rumah.

"Pihak polis membuat rampasan telefon bimbit, wang tunai ringgit Malaysia, mata wang asing dan pelbagai barangan kemas disyaki dicuri hasil daripada perbuatan pecah rumah.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan pecah rumah bersama rakan sejenayah yang ditahan polis sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azam berkata, kedua-dua suspek menyasarkan rumah tidak berpenghuni dan bertindak memecah masuk melalui pintu hadapan.

Kata beliau, susulan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah dalam daerah Ampang Jaya.

"Hasil ujian air kencing ke atas suspek adalah positif dadah.

"Semakan rekod juga mendapati suspek dikehendaki berhubung kes pecah rumah, manakala 31 rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah serta narkotik.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 4 Januari 2024. - Sinar Harian