JEMPOL: Seorang tukang masak berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Bahau di sini pada Selasa termasuk menyebabkan kemalangan maut dalam kejadian di jalan besar Felda Palong 12 selepas didakwa melakukan jenayah curi, bulan lalu.

Tertuduh, Lee Han Chai, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 28 Februari lalu, jam 5.45 pagi di Jalan Besar Felda Palong 12, tertuduh memandu dengan cara berbahaya telah melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y80 hingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh sama jam 9.35 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, didapati memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat berkaitan kes curi, tertuduh bersama-sama yang masih bebas telah mencuri sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM120,000 kepunyaan sebuah syarikat dan sebuah lagi kenderaan jenis sama bernilai RM160,000 milik seorang lelaki.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh juga pada tarikh sama jam antara 3.20 hingga 3.23 pagi di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan sebuah rumah di Taman Sornam dan Taman ACBE, Bahau.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri,manakala tertuduh diwakili peguam, Sarinah Mustafa.

Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat serta RM5,000 bagi pertuduhan kedua dengan nilai keseluruhan jaminan sebanyak RM35,000.

Majistret turut menetapkan syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kesemua pertuduhan akan disebut semula pada 10 Mei ini bagi serahan dokumen. - Sinar Harian