IPOH: Polis menafikan wujud layanan 'double standard' berhubung kawalan ketat terhadap pegawai kanan polis yang didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan tersebut merupakan prosedur biasa membawa orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

Jelasnya, kawalan ketat yang dilakukan di sekitar kawasan mahkamah adalah untuk menjaga keselamatan kerana kes itu menarik perhatian umum.

"Kita membuat kawalan di mahkamah tadi itu adalah bagi menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan mahkamah. Tidak ada isu double standard ya. Seperti mana yang kita tahu, layanan yang diberi sama seperti mana pesalah-pesalah yang lain," ujar beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita semasa mengiringi Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim, mengunjungi keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa di sini, pada Isnin.

Menurutnya, buat masa ini, pegawai kanan polis yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ditahan di Penjara Taiping sehinggalah perbicaraan akan datang.

Terdahulu, media melaporkan petugas media kecewa kerana tidak dibenarkan membuat liputan secara bebas pertuduhan bunuh membabitkan tertuduh, pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan (DSP) di Mahkamah Majistret di sini.

Kira-kira 30 petugas media berkumpul di kawasan mahkamah seawal jam 7.30 pagi tadi menunggu ketibaan pegawai polis terbabit, susulan kes kematian pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang mendapat liputan meluas media.

Kumpulan anggota polis dilihat berkawal di perkarangan kawasan Mahkamah Ipoh sebelum enam kenderaan polis bercermin gelap, tiba di kawasan kompleks mahkamah.

Sementara itu, abang mangsa turut merayu orang ramai agar memadamkan video-video yang tular pada hari kejadian.

Zarul Fitri, 29, berkata, penyebaran berterusan video-video itu akan menggganggu semula emosi sekeluarga yang telah mula stabil.

"Saya minta belas ihsan semua yang mana ada share, video di mana ketika adik saya sedang nazak aa di media-media sosial minta tolong turunkan," kata Zarul Fitri. 

"Video yang sebegitu mengganggu emosi keluarga saya yang saya percaya sudah mula stabil, namun apabila melihat kembali video berkenaan, akan mecetus ingatan kita orang yang masih trauma. Saya memohon untuk kita sesama manusia tolong turunkan video-video yang saya peraya akan mengaibkan arwah," tambahnya. 

Pada Khamis lalu, kes kemalangan yang berlaku berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di Ipoh,  membabitkan sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis dan motosikal ditunggang seorang pelajar yang maut dalam kejadian terbabit.

Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zahari, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.