IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan memiliki senjata api tiruan, gari, baju kalis peluru dan buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis.

Leong Yew Chen, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan di No 24, Jalan Margosa, Pasir Puteh, kira-kira pukul 1.45 petang, 10 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa memiliki sepasang gari dan tiga helai baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memiliki 14 buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis yang dikemukakan mengikut Seskyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki peluru hidup tanpa lesen serta membawa dan memiliki senjata yang dijadualkan di Mahkamah Sesyen Ipoh, di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.

Dia juga didakwa membawa dan memiliki senjata yang dijadualkan iaitu dua buah besi buku lima yang dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh ditawarkan jaminan kerana kes melibatkan Akta Senjata Api dan menetapkan 21 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan pskiatri selepas pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta berikutan tertuduh mempunyai sejarah penyakit mental.

Pendakwaan dikendalikan  Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab, Nor Syahirah Azahar dan Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Amrick Singh Sandu.