KAJANG: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menunggang motosikal dengan gopoh dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas, minggu lepas.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap Irwan Syah Rizal, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman bagi dua kesalahan itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 Sept lepas.

Bagi kesalahan menunggang motosikal dengan gopoh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan manakala bagi kesalahan mencederakan, dia dijatuhi hukuman empat bulan.

Irwan Syah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Low Khoon Hwa, 71, di Jalan Cheras Perdana, Hulu Langat, dekat sini pada 11.25 pagi, 1 Sept lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa menunggang motosikal dengan gopoh sehingga membahayakan nyawa mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurshuhada Imraanuar yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dijatuhkan hukuman penjara secara serentak bagi kedua-dua kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat umum.

"Kami memohon agar mahkamah mempertimbangkan tindakan tertuduh yang menunggang motosikal secara melawan arus telah memberikan ancaman nyawa kepada pengguna jalan raya lain.

"Selain itu perlu dipertimbangkan tindakan melulu tertuduh yang telah mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

"Kami memohon satu hukuman berbentuk kepentingan awam dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

Minggu lalu, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan tidak berbaju dan memukul seorang penunggang motosikal warga emas selepas kenderaan mereka bertembung di sebuah simpang empat.

-- BERNAMA