KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung ancaman dan ugutan yang dibuat menerusi media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan PDRM menerusi kenyataan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandarguru Ananda pada Sabtu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook 'Apiez Bond'.

"Hasil daripada laporan tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor pada 19 Ogos 2022 sekitarnya jam 11.15 malam.

"Turut dirampas daripada suspek satu unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan tersebut," jelasnya.

BACA: Ancaman terhadap Ketua Hakim Negara disiasat segera - KPN

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 23 Ogos depan bagi siasatan lanjut. Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkencenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimerdia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan lelaki terbabit yang mengeluarkan komen di laman sosial berbaur ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara.

Tindakan terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya netizen yang mengecam tindakan lelaki terbabit.