SERDANG: Lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga mati dalam kejadian di Kajang, bulan lepas ditahan petang semalam ketika menyembunyikan diri di Senai, Johor, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Suspek dipercayai cuba bersembunyi daripada pihak polis dengan melarikan diri ke Johor, namun hasil risikan, kita berjaya mengesan lokasi persembunyian," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Ulangtahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki berumur 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kejadian pada 23 Julai lepas, seorang wanita dipercayai mangsa kes pukul dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kajang.

Polis menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada seorang jururawat di hospital berkenaan, selepas menyedari wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia dengan mempunyai beberapa kesan lebam dan kecederaan di badan.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata setakat tahun ini, polis Selangor telah menerima sebanyak 17 laporan berhubung ajaran sesat Si Hulk.

"Siasatan mendapati pengikut-pengikut ajaran sesat Si Hulk kini tidak lagi berada di Selangor, berkemungkinan telah ke luar negara," katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad atau Si Hulk adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam kerana antara lain mendakwa Nabi Muhammad SAW ialah tuhan.

-- BERNAMA