KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melontar 'molotov cocktail'  sehingga menyebabkan kebakaran kenderaan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung pada Rabu lalu.

Lelaki terbabit ditahan di Shah Alam, Selangor pada jam 4 pagi Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya turut merampas dua buah telefon bimbit dipercayai milik lelaki berusia lingkungan 30-an itu.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohs Yusri menambah kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Dalam masa sama, beliau berkata polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi Rabu lalu, pemimpin DAP terbabit bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.