KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki kerana disyaki memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam di laman sosial.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama @hezryhaizad berusia 33 tahun itu ditahan Bagai Serai, Perak semalam dan direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.

"Susulan penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping sim kad milik suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Beliau berkata lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja sehingga boleh mencetuskan kepada ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

-- BERNAMA