Urusan penjualan dan pengedaran jersi tiruan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di sebuah premis kedai di Jalan Seroja di sini berjaya dipatahkan dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor pada kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Penguatkuasa PPDNKK Johor, Rizq Fazliana Abd Hamid berkata sebanyak 1,187 unit jersi bola sepak JDT musim 2017 dan 735 unit jersi pelbagai jenis berjenama Adidas dan Nike yang dianggarkan bernilai RM31,830 dirampas dalam operasi tersebut.

Katanya, serbuan ke premis berkenaan adalah hasil pemantauan dan risikan selama seminggu oleh pihak KPDNKK dan pengadu bagi jenama barangan terbabit.

Selain jersi, pihaknya turut merampas satu unit mesin ‘heat press’ yang dipercayai digunakan untuk menampal pelekat logo JDT.

Kesemua barangan tersebut disita dibawah Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Barang-barang ini setakat yang dimaklumkan semasa rakaman percakapan, belum diedarkan dan masih dalam proses pembikinan logo. Mungkin selepas perlawanan, (mereka) akan datang proses untuk jualan dan (begitulah) seterusnya,” ujar Rizq Fazliana Abd Hamid.

Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan jersi JDT di stor KPDNKK Kempas, di sini.

Pemilik premis berusia 30 tahun yang sudah direkodkan percakapan bagi tujuan siasatan itu didapati menjualnya secara dalam talian selain di kedai.

Difahamkan, kualiti jersi tiruan pasukan JDT itu dikatakan hampir 95 peratus dengan jersi yang tulen.

Menurut Rizq Fazliana, lelaki berkenaan sudah menjalankan perniagaan menjual pakaian terutama jersi bola sepak selama lima tahun.

Katanya, pemilik premis itu pernah diambil tindakan dengan dikenakan kompaun RM1,000 pada tahun lalu kerana menjual jersi JDT tiruan di tempat tumpuan umum di bandar raya tersebut.

Bagi kesalahan yang dilakukan membabitkan barangan tiruan, denda sebanyak RM10,000 dikenakan bagi setiap perihal dagangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan, untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua, denda RM20,000 bagi setiap perihal dagangan yang dipamerkan atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.