SEPANG: Seorang lelaki kerugian RM12,000 selepas terpedaya dengan penipuan 'Love Scam' di aplikasi mencari jodoh, Tinder.

Mangsa berkenalan dengan suspek yang mengaku dirinya sebagai  'perempuan' melalui aplikasi itu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitendan Shan Gopal Krishnan, mangsa juga diminta
oleh suspek untuk menjaga adiknya yang kononnya berada di Malaysia.


“Mangsa juga memberikan wang kepada suspek melalui pemindahan wang berjumlah RM12,000 ke dalam akaun bank suspek.

"Suspek sebelum itu mendakwa adiknya telah datang Ke United Kingdom untuk menyumbang organ dan akhirnya meninggal dunia akibat sakit,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Shan Gopal berkata, mangsa, bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas rakannya memaklumkan turut mengenali suspek dengan idenditi yang sama di aplikasi berkenaan selain mendedahkan modus operandi digunakan suspek juga sama.

Susulan itu, beliau mengesahkan, pihaknya sudah menangkap suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Lelaki tersebut, kata Shan Gopal, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta denda.