JASIN: Seorang operator kilang maut selepas dihempap kotak berisi kaca seberat 5.6 tan dalam kejadian di sebuah kilang kaca di di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Muhammad Umar Mohd Shahid, 23 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam kontena di gudang kilang berkenaan.

“Ketika sedang menjalankan kerja mengikat kotak, mangsa dikatakan terlanggar kayu penahan di dalam kontena itu.

“Insiden itu melibatkan kaca seberat 5.6 tan menghempap mangsa sehingga patah kedua-dua kaki, tengkuk serta beberapa kecederaan lain akibat serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin.
 
Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk tujuan post mortem. 

“Proses bedah siasat sedang dijalankan dan pengecaman mangsa juga sudah dibuat oleh bapanya.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.