TAWAU: Seorang lelaki maut ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Pancang, dekat sini, semalam.

Mangsa, Shang Yun Fui, 43 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dikatakan mendaki bukit berkenaan seorang diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 2.50 petang.

Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba bersama pegawai perubatan KKM berjalan ke lokasi mangsa sejauh kira-kira tiga kilometer.

"Setibanya di lokasi didapati mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk membawa turun mayat mangsa dengan menggunakan stretcher, berikutan keadaan laluan denai, licin dan sempit.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 11 malam tadi," katanya.