KUALA LUMPUR: Organisasi media dan pengamal kewartawanan digesa untuk tidak mengorbankan ketepatan fakta semata-mata demi mengejar kepantasan perkongsian maklumat di platform digital.
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail menegaskan, amalan tradisi kewartawanan yang berteraskan proses verifikasi dan disiplin semakan fakta kekal sebagai benteng paling ampuh dalam mendepani ancaman manipulasi kandungan seperti deepfake serta kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, kebanjiran maklumat yang tidak ditapis di media sosial berisiko mengelirukan masyarakat umum, terutamanya generasi baharu yang membesar dalam ekosistem digital serba pantas.
"Proses kewartawanan tradisional, ia bukan mengenai kepantasan berkongsi maklumat. Perkara paling utama adalah ketepatan. Terutamanya bagi generasi seterusnya, kita sedang bercakap mengenai Generasi Alpha, anak-anak berusia 10 tahun seperti anak anda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai tetamu dalam episod sulung program bual bicara Meet Jo-Black Podcast yang dihoskan oleh Jo-anna Henley Rampas dan Amin Iskandar.
Mengulas cabaran institusi penyiaran awam seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad menjelaskan bahawa peranan media pada hari ini tidak lagi boleh dilihat sebagai medium komunikasi sehala semata-mata.
Sebaliknya, usaha membina semula kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana menuntut interaksi yang lebih tulen dan kehadiran fizikal secara konsisten di peringkat akar umbi.
"Media bukan lagi jalan sehala. Kita mempunyai audiens yang turut mahu menjadi sebahagian daripada perbualan. Perlu ada jalinan hubungan, hubungan emosi, serta komunikasi interpersonal.
"Interaksi manusia dan interaksi sosial itu penting. Sebab itu untuk membina kepercayaan, kita perlu lebih kerap turun ke lapangan dan mengadakan perbualan serta interaksi yang lebih bermakna," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa landskap penyiaran moden tidak wajar diterajui oleh sikap bersaing secara defensif antara agensi media tradisi dengan pencipta kandungan bebas.
Sebaliknya, industri media tempatan diseru melangkah ke era kolaborasi rentas platform, sekali gus memanfaatkan kecekapan teknologi baharu tanpa menggadaikan nilai etika, kesahihan berita, dan sentuhan kemanusiaan.