Lelaki maut, nahas kereta, lori simen di Jalan Raya Timur Barat

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menghala Tasik Banding, Gerik, awal pagi ini. - Gambar ihsan JBP Perak
IPOH: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan simen di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menghala Tasik Banding, Gerik, awal pagi ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Anuar Ahmad, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM).
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 3.10 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord bertembung dengan sebuah lori muatan simen jenis Volvo.
“Terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta tetapi tidak tersepit dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik tamat jam 4.40 pagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


