PETALING JAYA: Pemandu sebuah pacuan empat roda maut selepas kenderaan tersebut merempuh bahagian belakang sebuah treler di kilometer (km) 21.5 arah utara, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis menerima laporan berkenaan nahas tersebut sekitar jam 7.28 pagi.

Menurutnya, mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati pemandu Nissan Navara merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun dipercayai melanggar bahagian belakang treler tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan selanjutnya.

"Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019 3318339," ujarnya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.