Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan seorang lelaki menyamar sebagai pegawai SKMM dan menawarkan Netbook 1Malaysia yang baharu, jika mangsa membayar sejumlah deposit kepadanya.

Timbalan Pengarah Pematuhan Kawal Selia SKMM Wilayah Utara, Hanita Izam Abdul Rahman berkata individu yang memperkenalkan diri dengan nama 'Zambri' itu mengatakan bahawa dia mempunyai maklumat mengenai anggota keluarga yang ditawarkan Netbook 1Malaysia.

"Lelaki ini datang rumah ke rumah dan memberi borang permohonan photostat kepada mangsa. Mangsa diminta untuk menyerahkan wang deposit antara RM1,000 hingga RM2,500 untuk mendapatkan Netbook 1Malaysia sebelum komputer diserahkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata selain meminta mangsa menjelaskan deposit, individu itu juga menggunakan taktik lain seperti peraduan dan hadiah lumayan.

"Setelah mangsa menjelaskan deposit, lelaki itu memberi pelbagai alasan untuk melarikan diri seperti mahu mendaftar internet mangsa dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata individu itu menjadikan penduduk kampung di kawasan Sungai Siput, Manjung, Batu Gajah dan Chemor sebagai sasaran.

Hanita berkata kegiatan itu dilakuakn di Perak sejak dua tahun lepas dan mengikut rekod polis, sebanyak 23 laporan diterima berhubung kes penipuan itu setakat ini.

"Tahun lepas polis menerima 16 laporan dan tahun ini tujuh laporan," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penipuan itu hasil aduan orang ramai secara terus ke pejabat SKMM dan ada juga kes yang dilaporkan kepada polis.

"SKMM tidak pernah melantik ejen atau mengarah mana-mana pegawainya untuk pergi ke rumah-rumah bagi membuat tawaran Netbook 1Malaysia dan kami juga tidak pernah mengenakan bayaran atas setiap netbook yang diserahkan," katanya.

Hanita berkata SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kes penipuan itu dan setakat ini polis memperoleh beberapa petunjuk.

"SKMM ada membuat beberapa posting di media sosial berkenaan perkara ini sebagai peringatan kepada masyarakat dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata sekiranya didatangi mana-mana individu yang mengaku daripada SKMM dan menawarkan Netbook 1Malaysia, perlu segera menghubungi balai polis berdekatan atau datang sendiri ke pejabat SKMM.

"Jika orang ramai mempunyai maklumat, sila buat laporan polis dengan segera atau hubungi kami di [email protected] atau 1800-888030 atau telefon pejabat SKMM Perak di talian 05-5014000," katanya.

Program Netbook 1Malaysia yang dilancar pada 2010, merupakan program pemberian komputer kepada individu dan telah berakhir pada 19 Feb tahun lepas.

Bagi pemberian netbook kepada Pusat Internet 1Malaysia, ia telah diagihkan pada 22 Jun tahun ini dan pemberian masih dijalankan.