Seorang lelaki Myanmar diberkas polis kerana dipercayai terlibat melepaskan tembakan terhadap seorang perempuan senegara yang sedang berniaga kuih di kaki lima Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara di Selayang pada 15 Feb lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Zainuddin Ahmad berrkata, Numal Hakim Kassim, 20, ditahan di bahagian Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) KL pada 6 Ogos lalu.

Ujarnya, polis masih memburu seorang rakan subahat suspek, Nur Marmed, 31, yang juga warga Myanmar.

"Kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pemerasan dan kemungkinan terlibat dengan kes bunuh dua minggu lepas ke atas seorang lelaki India di pasar borong," katanya pada sidang media rampasan senjata di IPK KL hari ini.

Sidang media di IPK KL

Turut ditahan, dua orang lelaki masing-masing warga Myanmar dan Bangladesh, Mahmud Ubanda dan Alauddin Bapary, yang dipercayai boleh membantu siasatan kes.

Selain itu, dua pucuk pistol jenis Colt Super 7.65 Model C-1.45 bersama tujuh butir peluru dan sepucuk pistol lagi jenis Revolver Crome Silver WG bersama tiga butir peluru turut dirampas.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun.

Dalam insiden 15 Feb lalu, Numal dan Nur Marmed dipercayai telah memecahkan barang perniagaan milik mangsa dan melepaskan dua das tembakan ketika mangsa sedang melarikan diri.