Seorang pemuda pemetik kelapa hampir terkorban apabila lehernya terbelit tali selepas tergelincir dan tergantung dari pokok kelapa dalam kejadian di Kota Sarang Semut dekat sini.

Dalam video yang tular di media sosial sejak petang semalam, Mohd Zulhisyam Zulkifli bagaimanapun sempat diselamatkan oleh rakannya yang berada di tempat kejadian.

Menceritakan detik cemas itu Zulhisyam berkata beliau tergelincir sebelum tali yang digunakan membelit lehernya menyebabkan beliau tergantung hampir empat minit dan pengsan.

“Masa itu saya cuma fikir ibu sajalah. Tapi lepas kejadian, saya beritahu sesiapa di situ jangan beritahu ibu saya. Saya panjat pun tak beritahu ibu,” kata Mohd Zulhisyam.

Tindakan pantas rakannya yang memanjat pokok kelapa dan meleraikan belitan tali pada leher menyelamatkan nyawa Zulhisyam.

Zulhisyam dibawa ke Klinik Kesihatan Daerah sebelum diminta rujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian yang tular di laman sosial sejak petang semalam, rata-rata netizen terkejut malah ada yang mengatakan Mohd Zulhisyam ingin membunuh diri.

Mohd Zulhisyam bagaimanapun tidak menyimpan dendam dan berharap netizen lebih rasional dan berfikir dahulu sebelum melontarkan sesuatu komen.

"Saya maafkan mereka. Yang penting saya tahu saya tak bunuh diri," kata Mohd Zulhisyam.

Mohd Zulhisyam mengambil upah memetik buah kelapa untuk dijual di bazar Ramadan.

Beliau yang baru tiga kali memanjat pokok kelapa menjadikan tragedi ini satu pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati di masa hadapan..