MALAYSIA
Lelaki OKU hilang di Bukit Tabur: Operasi SAR ditamatkan

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, keputusan untuk menamatkan operasi itu dibuat selepas tiada petunjuk baharu ditemui di kawasan pencarian. - Gambar fail
AMPANG JAYA : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki orang kurang upaya (OKU), Norhafsham Nazri, 43 yang dilaporkan hilang di Bukit Tabur, telah ditamatkan pada jam 6 petang, Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, keputusan untuk menamatkan operasi itu dibuat sehubungan tiada petunjuk baharu ditemui di kawasan pencarian.
“Operasi SAR melibatkan penyertaan kira-kira 80 anggota termasuk daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan dua platun Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Semenyih dan Simpang Renggam.
"Pasukan PGA Cheras dah merata teroka jauh ke dalam hutan anggaran radius 8 kilometer lebih luas sejak semalam.” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.Operasi turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Zon 4 Hulu Langat), sukarelawan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Mohd Azam, setakat ini juga tiada sebarang petunjuk baru ditemui di lokasi kejadian dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa pergi ke lokasi lain.
Terdahulu Mohd Azam dilaporkan berkata, Balai Polis Taman Melawati menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 1.04 tengah hari kelmarin, daripada seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun.
Jumaat lalu, Nazri Harun, 69, menghantar Norhafsham ke Kampung Warisan Taman Melawati, Ulu Kelang untuk berehat kira-kira pukul 2.30 petang.
Nazri kemudian mendapati anaknya masih belum pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 malam sebelum dia membuat keputusan ke Kampung Warisan untuk mencari mangsa, namun tidak dijumpai.
Sebelum ini, kira-kira 60 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyertai operasi SAR bermula Sabtu lalu.
Operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami