Seorang lelaki mengalami kecederaan parah di kedua belah kakinya akibat terkena bom buatan sendiri dipercayai dipasang oleh peminjam wang atau ah long dalam insiden di Jalan Pengkalan Setia, Taman Pengkalan Setia, Simpang di sini.

Dalam kejadian sekitar 10 malam semalam itu, lelaki berusia 50-an itu parah di kakinya apabila terkena letupan bom yang dipercayai dipasang di dalam kenderaan Toyota Corolla miliknya oleh ah long yang memburunya bagi menuntut bayaran hutang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah yang mengesahkan kejadian berkata pihaknya mengetahui mengenai insiden tersebut hasil maklumat daripada orang awam yang menyedari kejadian letupan tersebut.

Bahan letupan itu dipasang dengan cara tali diikat ke pintu, dan akan meletup sebaik sahaja talik ditarik semasa pintu dibuka. - Foto PDRM
“Siasatan mendapati letupan itu berlaku di dalam kenderaan mangsa yang bekerja di sebuah kilang kejuruteraan Bukit Mertajam, yang diletakkan di bahagian luar rumahnya.

“Sebelum itu, mangsa difahamkan datang ke Taiping untuk melawat anaknya yang belajar di Tingkatan 5, dan sebelum ini pada 2014, beliau pernah menetap di situ sebelum berpindah ke Bukit Mertajam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, insiden berkenaan berlaku apabila mangsa yang bersiap pulang ke Bukit Mertajam telah membuka pintu bahagian pemandu sebelum satu letupan kuat berlaku dan mencederakan kedua-dua kaki mangsa.

“Bahan letupan itu dipasang dengan cara tali diikat ke pintu, dan akan meletup sebaik sahaja tali ditarik semasa pintu dibuka.

“Berikutan letupan itu, hasil pemeriksaan X-Ray mendapati ada serpihan menyerupai skru dalam kedua-dua bahagian kaki mangsa, dan buat masa ini tiada saksi yang nampak kejadian ataupun suspek yang memasang bahan letupan itu,”katanya lagi.

Harrith Kam berkata siasatan lanjut mendapati kenderaan mangsa mengalami kerosakan dan hasil pemeriksaan menjumpai beberapa barangan antaranya besi, bateri, wayar dan tali yang dipercayai adalah komponen bahan letupan buatan sendiri untuk mendatangkan kecederaan.

Menurut beliau, buat masa ini mangsa yang masih dirawat di Hospital Taiping bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa selain mengalami luka-luka luaran.

“Soal siasat bersama mangsa mendapati sebelum ini beliau mempunyai sebuah kilang kejuruteraan sendiri yang mengalami masalah.

“Justeru, pada tahun 2013 mangsa telah membuat pinjaman dari ah longng di Seberang Perai sebanyak RM300,000 serta tidak mampu membayarnya," katanya.

Menurutnya, mangsa sendiri percaya punca kejadian adalah perbuatan ah long yang masih menagih hutang yang belum dijelaskan dan mengesyaki diekori kumpulan ah long sehingga ke Taiping.

“Pihak polis merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini atau suspek kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Polis juga sedang mengenalpasti kumpulan ah long yang disyaki melakukan perbuatan ini, dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah,”katanya lagi.