KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.62 peratus setakat Februari 2026, selari dengan jadual penyiapan jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor menjelang akhir tahun ini seterusnya beroperasi secara komersial bermula Januari 2027.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor pula akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
Advertisement
Beliau berkata pengoperasian komersial tren elektrik Pelbagai Gerabak (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E-Loco) bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentas rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer negeri-negeri Pantai Timur dan Selangor.
"Projek ECRL juga mencatatkan satu lagi pencapaian penting pada hari ini dengan selesainya pembinaan landasan jajaran utama ECRL sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak lebih awal daripada yang dijadualkan.
"Pencapaian ini jelas mencerminkan dedikasi tinggi serta kerjasama erat antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communication Construction (CCC)-ECRL serta sokongan padu dari semua pihak yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian Perjanjian Pelantikan Penyelaras Utama Bersama (JLC) bagi Pengurusan Risiko Pertukaran Asing Projek ECRL dan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.
-- BERNAMA