Skip to main content

Malaysia

Lelaki Rohingya menangis didakwa bunuh isteri sarat hamil guna lesung batu

SINAR HARIAN
Rashidullah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Rabu.

KOTA TINGGI: Lelaki etnik Rohingya yang dipercayai menghentak kepala isterinya yang sarat hamil menggunakan lesung batu dalam kejadian di Kampung Makam dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Rashidullah Mong Fumiyah, 35, yang berdepan pertuduhan membunuh dilihat menangis selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Advertisement

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita iaitu Fazanah Eskar, 34, di sebuah rumah di Jalan Haji Mustafa, Kampung Makam di sini, pada awal pagi 13 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Dalam prosiding yang sama, tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi cukup sifat dalam kandungan isterinya itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menghentak wanita berkenaan pada bahagian kepala sebelah kiri menggunakan lesung batu hingga menyebabkan kematian mangsa dan dengan perbuatan itu juga menyebabkan kematian seorang anak dalam kandungan yang cukup sifat milik mangsa.

Perbuatan yang didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu dibuat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Majistret sama ada dia mengaku bersalah atau tidak, lelaki itu tidak memberikan sebarang pengakuan namun sempat meminta maaf serta menangis.

"Saya minta maaf. Saya orang Islam. Tetapi ini hukuman Malaysia. Kalau Tuhan hukum, apa-apa saya terima," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac depan bagi kehadiran jurubahasa Myanmar supaya tertuduh lebih memahami pertuduhan sebelum membuat sebarang pengakuan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu.

Mangsa ditemui tidak bernyawa dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi, 13 Februari lalu oleh pemilik rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video