Skip to main content

Malaysia

Lelaki rugi RM39,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

51744780752_TBGENERICMACAUSCAM.jpg
Polis berkata mangsa sebelum itu menerima satu panggilan telefon pada 15 Sept, yang menawarkan peluang pekerjaan sebagai pengurus. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 54 tahun berputih mata apabila kerugian RM39,000 akibat ditipu sindiket tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata mangsa sebelum itu menerima satu panggilan telefon pada 15 Sept, yang menawarkan peluang pekerjaan sebagai pengurus.

Beliau berkata suspek memperdayakan mangsa dengan meminta lelaki itu membuat beberapa pembayaran awal, kononnya wang itu akan dipulangkan semula kepadanya semasa sesi temu duga.

“Mangsa yang terperdaya telah melakukan pemindahan wang ke nombor akaun bank yang diberikan suspek, membabitkan tiga transaksi berjumlah RM39,000 kelmarin (16 Sept).

“Bagaimanapun, mangsa mula curiga dan menyedari dirinya ditipu apabila suspek berterusan meminta bayaran tambahan, lalu bertindak tidak meneruskan pembayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naazron berkata susulan perkara itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pekerjaan yang dipromosikan menerusi platform dalam talian.

“Orang awam disarankan agar membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum melakukan sebarang bentuk pembayaran bagi mengelakkan kerugian.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun bank yang diberikan melalui portal Semak Mule atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement