AMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyerang peniaga menggunakan gelas besi, dalam kejadian di sebuah medan selera pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku di Medan Selera Bunga Tanjung, di sini melibatkan peniaga berusia 45 tahun, manakala suspek berusia 44 tahun.

Beliau berkata, dalam kejadian 7 malam itu, peniaga tersebut telah didatangi oleh seorang lelaki tempatan dalam keadaan marah.

Kata beliau, lelaki tersebut secara tiba-tiba telah bertindak menyerang dan memukul peniaga di bahagian pipi kiri menggunakan gelas besi.

"Akibat daripada kejadian tersebut, pengadu telah mengalami luka di bahagian pipi.

"Insiden itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian.

"Pengadu cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ekoran kejadian itu, Mohd Azam berkata, suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 1.10 pagi pada Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas gelas besi yang digunakan oleh suspek untuk mencederakan pengadu.

Katanya, semakan mendapati suspek turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Mohd Azam berkata, suspek direman empat hari sehingga 20 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 324

Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan yang sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata," ujarnya. -- Sinar Harian