JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jeti Sungai Nelayan di Pontian, dua hari lepas, ditemukan lemas awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd Jalil berkata mayat Muhammad Amirul Muzamil, 26, ditemukan di bawah jeti pada kedalaman tiga meter pada pukul 6.15 pagi.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa dan seorang rakan lelaki berusia 20an, dipercayai terjatuh ke dalam sungai dari jeti tersebut dalam kejadian pada pukul 9.10 malam Isnin.

Azhar bagaimanapun berkata rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada di lokasi berhampiran.

-- BERNAMA