KOTA BHARU: Seorang lelaki yang cuba terjun bangunan selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya dalam kejadian di Tumpat pada Selasa ditahan reman tiga hari di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, pada Khamis.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 27 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa bermula hari ini sehingga Sabtu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan perintah reman berkenaan.

Katanya, reman dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan yang masih dalam pembinaan.

BACA: Tikam isteri, ibu mentua hingga parah kerana selisih faham

Bagi kes mencederakan isteri dan ibu mentua mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, permohonan reman akan dibuat selepas ini di Tumpat.

Semalam, seorang pemandu lori ditahan selepas berjaya dipujuk ketika cuba terjun daripada tingkat 31 bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Suspek dikatakan melarikan diri ke bangunan itu selepas menikam isteri dan ibu mentuanya dengan dua bilah pisau kerana selisih faham di sebuah rumah di Chabang Empat, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, isteri lelaki terbabit yang berusia 20-an cedera parah retak di kepala dan beberapa bahagian badan manakala ibu mentuanya yang berusia 60-an luka di kepala akibat ditikam suspek.