PASUKAN kebangsaan Iraq akan tetap berlepas ke Mexico bagi menghadapi aksi kalah mati antara benua menuju Piala Dunia 2026 meskipun terdapat desakan supaya perlawanan itu ditangguhkan susulan konflik yang sedang melanda Asia Barat.
Presiden Persatuan Bola Sepak Iraq, Adnan Dirjal, memaklumkan skuad kebangsaan dijadual berlepas pada hujung minggu ini menggunakan pesawat khas selepas pihaknya berhubung dengan FIFA bagi memudahkan perjalanan pasukan.
Advertisement
“Pasukan kebangsaan akan berlepas ke Mexico menggunakan pesawat khas.
“Kami juga berjaya berhubung dengan beberapa kelab pemain profesional kami bagi memudahkan mereka menyertai kem kebangsaan,” kata Dirjal dalam satu kenyataan.
Dirjal menegaskan fokus pasukan kini hanya tertumpu kepada persiapan menghadapi perlawanan penting tersebut.
“Hanya tinggal 17 hari lagi.
“Kita perlu fokus dan membuat persiapan terbaik.
“Matlamat kami hanya satu iaitu layak ke Piala Dunia,” katanya lagi.
Perlawanan penentuan itu dijadual berlangsung pada 31 Mac di bandar Monterrey, dengan Iraq bakal menentang sama ada Suriname atau Bolivia.
Pemenang perlawanan tersebut akan melengkapkan saingan Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Norway dalam pusingan pertama kejohanan berprestij itu.
Konflik yang tercetus selepas serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu jelas menimbulkan kebimbangan mengenai perjalanan pasukan Iraq, selain menjejaskan penyertaan Iran dalam kejohanan itu.
Jurulatih Iraq, Graham Arnold, sebelum ini mencadangkan agar FIFA menangguhkan perlawanan tersebut kerana ramai pemain serta staf kejurulatihan terkandas di Timur Tengah akibat gangguan penerbangan.
Iraq melangkah ke play-off antara benua selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan agregat 3-2 dalam pusingan kelayakan Asia pada November lalu.
Pasukan itu kini berusaha melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kedua sejak kali pertama dilakukan mereka pada edisi 1986. -- Stadium Astro