KUALA LUMPUR:Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera selepas ditetak dalam insiden samun bersenjata di rumah mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya, Bangsar, di ibu negara awal pagi tadi.

Mangsa Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat kecederaan di muka dan leher.

Wan Hassan merupakan bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3.30 pagi tadi ketika kawasan perumahan berkenaan terputus bekalan elektrik.

"Menurut isterinya, mangsa yang terdengar bunyi bising di bahagian dapur didatangi dua lelaki yang berparang dan meminta duit.

"Mangsa cuba melawan dan seterusnya telah ditetak, malah isterinya turut ditetak di bahagian bahu kanan.

"Suspek kemudian melarikan barang-barang berharga yang belum dapat dikenal pasti sebelum melarikan diri mengikut tingkap dapur," katanya dalam satu kenyataan.

"Isterinya, Sarifah Yusof, 70, mengalami kecederaan di sebelah tangan kanan kerana ditetak," kata Anuar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.