LANGKAWI: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah dalam komputer riba, Februari lalu.

Tertuduh, David Matthew Frahm, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Helmi Ghani.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berusia 46 tahun itu didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah di dalam komputer riba di sebuah kediaman di Chogm Villa, Jalan Seri Legenda, di sini, jam 7.10 malam pada 15 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Cheow Wee dan Alvin Lau.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei ini untuk mitigasi kes dan keputusan hukuman.

Sebelum ini, tertuduh sama turut berhadapan pendakwaan atas kesalahan tinggal melebihi masa ditetapkan apabila berada di negara ini selama 1,380 hari.