TEMERLOH: Nor Amar Mukhlis Mohd Anizan, seorang daripada tiga mangsa lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di sini pada Jumaat, sering bertanyakan kepada bapanya sama ada mereka sekeluarga jadi pulang ke kampung.

Bapa Allahyarham, Sarjan Mohd Anizan Daud, 39, berkata mengikut perancangan mereka sekeluarga sepatutnya bertolak ke kampung petang ini selepas permohonan cutinya diluluskan semalam.

Menurut Mohd Anizan, pada semalam dia ada membuka aplikasi WhatsApp untuk menghantar pesanan kepada Nor Amar Mukhlis bagi memaklumkan mereka dapat pulang ke kampung.

Bagaimanapun, selepas melihat kumpulan WhatsApp perumahannya 'gempar' dengan kejadian lemas di kolam latihan berhampiran, dia segera meninggalkan tugas di padang kawat lalu ke lokasi kejadian.

"Saya tahu Amar Mukhlis terlibat (lemas) kerana bajunya di tepi kolam. Sebelum itu, saya menghantarnya ke kelas mengaji. Saya kelu. Teringat sejak tiga, empat hari lepas dia sibuk bertanya jika kami jadi pulang ke kampung kerana ada kenduri kesyukuran.

"Petang semalam baru saya tahu permohonan cuti diluluskan. Ikut perancangan, kami sepatutnya bertolak petang ini dan memang benar kami pulang ke kampung seperti hasrat arwah," katanya yang ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini semalam.

Mohd Anizan berkata jenazah anak sulung daripada lima beradik itu akan disembahyangkan di masjid di kem tentera itu sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Perkuburan Kuau, Bachok, Kelantan.

Nor Amar Mukhlis, 13, dan dua rakannya Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim dan Aiman Shafiq Sudirman kedua-duanya berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas didakwa mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam kira-kira 2.1 meter, dalam kem itu petang Jumaat.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Shafiq Aswad, Noriah Abdul Rashid, 35, berkata anaknya meminta izin untuk keluar bermain pada 4.30 petang, sebelum dia menerima berita menimpa anak keduanya menerusi panggilan telefon daripada jiran, selang sejam kemudian.

"Saya bergegas ke pusat perubatan. Walaupun nampak doktor sedaya upaya melakukan bantuan CPR (resusutasi kardiopulmonari), naluri saya mengatakan Abang Ngah (panggilan arwah) sudah tiada," katanya yang sedang hamil anak keenam.

Noriah berkata arwah sering membantunya menghantar pesanan kuih yang dijualnya ke rumah pelanggan pada sebelah petang kerana mahu menyimpan 'upah' untuk membeli kasut bola, selain ringan tulang sama ada di rumah mahupun sekolah.

Noriah berkata walaupun sedih dan reda dengan kehilangan arwah, dia bersyukur kerana anak ketiganya Muhammad Safwan Arfan, 9, yang keluar bersama arwah tidak mandi di kolam itu, sebaliknya hanya duduk di tepi kolam.

"Anak ketiga sangat kurang bercakap selepas kejadian. Saya diberitahu semasa abangnya (diangkat) keluar dari kolam, dia duduk di tepi kolam sambil menekup kepala dan memanggil abangnya. Mungkin disebabkan itu dia trauma selain mereka memang rapat," katanya.

Noriah berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Sementara itu, Koperal Sudirman Mustafa, 37, berkata dia pada mulanya sukar untuk mempercayai Aiman Syafiq terlibat dalam kejadian itu, kerana baru menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu ke kelas mengaji berhampiran rumahnya.

Menurut Sudirman dia dimaklumkan mengenai kejadian daripada rakannya dan bergegas menjemput isteri di rumah untuk ke pusat perubatan kem.

"Selepas mengaji, anak selalunya bermain dengan kawan dari kawasan perumahan sama. Dua rakan yang turut lemas tak asing buat kami sekeluarga. Mereka sering ke masjid bersama-sama dan datang beraya di rumah," katanya menambah jenazah Aiman Syafiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Badak, Bachok, Kelantan.

-- BERNAMA