KUALA LUMPUR: Kalangan ahli lembaga pengarah perlu mengekalkan kebebasan dari segi minda dan kedudukan bagi memastikan mereka dapat menjalankan peranan serta tanggungjawab secara berkesan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, ini berikutan terdapat segelintir pengarah bebas yang kurang bersedia serta terlalu bergantung pada pihak pengurusan.

Keadaan sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana boleh menyebabkan pengurusan mempunyai kawalan ke atas lembaga pengarah terbabit, katanya.

"Peranan pengarah bebas ini adalah untuk memberi semak dan seimbang kepada kalangan eksekutif (pengarah) dan mereka perlu mengambil kira hasil audit, terutama penilaian risiko mengenai pengurusan lebih baik bagi menangani sebarang gangguan ke atas perniagaan.

"Oleh itu, saya menggalakkan para pengarah bebas ini untuk saling bekerjasama dan berkongsi pandangan yang membolehkan mereka dalam kedudukan tepat bagi memaklumkan serta mempengaruhi lembaga pengarah demi kepentingan syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada acara Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa secara maya anjuran Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) mulai hari ini hingga 28 Sept, 2022.

Mengulas selanjutnya, Awang Adek berkata, sejak 2019, SC telah mengambil sebanyak 104 tindakan pentadbiran terhadap 39 pengarah, termasuk pengarah bukan eksekutif di atas pelbagai kesalahan sekuriti, termasuk memberi maklumat tidak benar dan mengelirukan kepada bursa saham.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa ahli lembaga pengarah bukanlah 'perhiasaan' dan jawatan berkenaan tidak harus dilihat sebagai satu keistimewaan atau kesempatan mendapatkan manfaat.

Sebaliknya, mereka yang dilantik itu perlu bertindak secara bertanggungjawab dan mengelak daripada menjadi satu liabiliti atau bebanan kepada syarikat.

Awang Adek berkata lembaga pengarah terbabit juga seharusnya lebih pelbagai dari segi usia, pengalaman, etnik dan jantina.

Menyentuh penyertaan wanita dalam lembaga pengarah syarikat di negara ini, beliau berkata 80 peratus syarikat tersenarai kini mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita berbanding hanya 7.7 peratus pada 2011.

Bagaimanapun, katanya, syarikat-syarikat masih perlu berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah.

Setakat 1 Sept, 2022, sebanyak 282 pengarah wanita telah dilantik menganggotai lembaga pengarah, menyumbang 34 peratus daripada semua lantikan baharu pada 2022 berbanding 17 peratus pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 79 peratus daripada lantikan itu adalah bagi jawatan pengarah bebas bukan eksekutif.

Selain itu, Awang Adek turut mengingatkan supaya ahli lembaga pengarah memberi hala tuju strategik dan menyokong inovasi agar syarikat kekal mampan dalam jangka panjang.

Ini penting bagi mengekalkan daya tahan dan tangkas dalam keadaan sukar dan tidak menentu untuk memenuhi permintaan serta jangkaan pemegang saham yang sentiasa berubah, katanya. - BERNAMA