Lesen latihan penerbangan My Heli Club digantung serta-merta - Ka Siong

Shuhada Abdul Kadir
Januari 5, 2021 04:43 MYT
Pada 8 Nov lalu, sebuah helikopter My Heli Club terhempas dan meragut dua nyawa di Taman Melawati, Kuala Lumpur manakala sebuah lagi (gambar) berjaya melakukan pendaratan cemas. - Gambar fail
MELAKA: Sijil kebenaran latihan penerbangan yang dikendalikan syarikat ‘My Heli Club’ digantung serta-merta selama enam bulan berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penggantungan itu susulan dua insiden kemalangan membabitkan ketiga-tiga helikopter milik syarikat berkenaan baru-baru ini.
“Saya hendak umumkan bahawa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah membuat keputusan menggantung kebenaran latihan penerbangan itu bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“Keputusan itu berikutan kita dapati syarikat itu ada tiga buah helikopter, yang mana dua daripadanya terlibat nahas pada 8 Nov 2020 di Taman Melawati, Selangor.
"Dan, sebuah lagi turut terlibat kemalangan di Pulau Indah, Klang pada 1 Januari 2021 lalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu, di sini, hari ini.
BACA: Helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati
BACA: Nahas helikopter Taman Melawati: Dua mangsa disahkan maut
BACA: Helikopter terhempas di Taman Melawati
BACA: CAAM siasat kejadian kedua helikopter terhempas babit My Heli Club
Mengulas lanjut, Wee berkata, bagaimanapun, larangan itu hanya membabitkan penerbangan latihan manakala penerbangan persendirian masih dibenarkan seperti biasa.
“Kita akan maklumkan kepada pihak kelab ini. Ini satu keputusan yang perlu dibuat oleh CAAM atas faktor keselamatan, selaras peraturan penerbangan awam Malaysia,” tambahnya.
Dalam kejadian nahas pada 8 Nov lalu, sebuah helikopter syarikat My Heli Club terhempas dan meragut dua nyawa di Taman Melawati, manakala sebuah lagi berjaya melakukan pendaratan cemas.
Insiden serupa berulang awal bulan ini apabila sebuah lagi helikopter milik syarikat sama terhempas selepas hilang kawalan ketika cuba membuat latihan ‘hovering’ di satu kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah.
#Wee Ka Siong #lesen digantung #penerbangan #keselamatan #terhempas #kemalangan #Nahas #hilang #MY heli club #helikopter #Taman Melawati #CAAM #latihan penerbangan #penerbangan persendirian