KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) itu turut menetapkan Sekretariat EAC, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia.

Kata Perdana Menteri, beliau ingin lihat sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara bergerak maju seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Dalam memacu usaha pemulihan ekonomi negara, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum dan bersetuju memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar," katanya dalam entri di laman sosial Facebooknya pada Khamis.

Sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara, perbincangan mesyuarat EAC itu  melibatkan pembentangan dari beberapa pemain industri utama iaitu MAFI, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.