KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiga suspek terlibat dalam kejadian letupan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Setia Alam, jam 6 pagi, pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, satu daripada mesin ATM tersebut berjaya dibuka dan kerugian dianggarkan bernilai RM409,000.

Katanya polis menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kejadian tersebut pada jam 6.28 pagi.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek menaiki kereta berwarna putih disyaki jenis Mitsubishi ASX telah memasuki premis ATM bank tersebut.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kabur dan tidak jelas kerana suspek telah menyembur kamera yang terdapat dalam premis berkenaan menggunakan spray (semburan) cat berwarna hitam.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat ‘flushing’ dan membantu siasatan dan mendapati letupan dihasilkan dengan cara tekanan gas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, tiada kebakaran dan kemalangan jiwa dilaporkan dan usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Mohammad Khairi di nombor 012-2666025,” ujarnya.