Lewat mendapatkan rawatan di pusat perubatan menjadi antara penyebab mengapa bilangan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat.

Malah ada dalam kalangan individu ini hanya tampil mendapatkan rawatan ketika keadaan sudah merosot dan kritikal.

Demikian kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang menyeru agar masyarakat di negeri itu untuk segera tampil menjalankan saringan sekiranya memiliki sebarang simptom COVID-19.

“Salah satu sebabnya adalah pesakit datang lewat mendapatkan rawatan dan Presiden Amerika Syarikat sebelum ini ada menyebut tentang Hydroxychloroquine.

“Bahan ini hanya boleh digunakan bagi tahap pengesanan awal jadi inilah puncanya kita menggesa orang awam untuk tampil lebih awal,” ujar Dr Sim ketika sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Kuching pada Jumaat.

Sehingga Jumaat, Sarawak mencatatkan 397 kes positif termasuk 10 kes baharu.

Manakala 119 kes baharu individu di bawah siasatan (PUI) menjadikan jumlah kes PUI setakat ini meningkat kepada 3,065 kes.

Tambahnya lagi JPBN Sarawak terus memfokuskan kepada tiga perkara utama dalam memerangi COVID-19 iaitu trace, test dan treatment.

Antara lain Dr Sim turut mengulas tentang penggunaan kit ujian pantas dari Korea Selatan yang baginya boleh diaplikasikan namun ia perlu dikaji dengan lebih terperinci terutama daripada aspek sensitiviti terhadap virus tersebut.

“Kita akan meminta pakar untuk menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya sendiri akan menghubungi Menteri Kesihatan kerana Sarawak berminat bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengesanan kit antigen.

“Kita perlu tahu kadar sensitiviti ujian ini dan jika ujian ini hanya memiliki 50 peratus sensitiviti ini bermakna setiap kali ujian dilakukan hanya 50 peratus sahaja yang tepat,” tambahnya.