KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan RM123.093 bilion cukai langsung pada tahun 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah, kutipan yang dibuat adalah lebih 1.393 bilion atau 1.15 peratus lebih tinggi berbanding sasaran iaitu RM121.7 bilion.

"Berbekalkan semangat dan juang yang membara, akhirnya pada 31 Dis 2020, LHDN berjaya catat rekod kutipan hasil RM123.093 bilion iaitu 1.393 bilion berbanding sasaran yang disemak kali ketiga oleh kerajaan pada tahun 2020 berjumlah RM 121.7 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Hasil ke-25 LHDN secara dalam talian.

Jelas beliau, pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada kutipan cukai langsung, apabila jumlah pada 2020 berlaku sedikit penurunan berbanding pada 2019.

Pada 2019, jumlahnya ialah sebanyak RM145.11 bilion, iaitu merupakan kutipan cukai langsung tertinggi yang pernah dikutip.

"Mendepani cabaran ini, LHDN mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis atau Crisis Management Team (CMT) yang berperanan memastikan krisis kesihatan yang berpunca dari COVID-19 dapat ditangani secara berkesan oleh LHDN," katanya.

Jelasnya, pelbagai risiko baharu yang berpotensi menjejaskan organisasi akibat pandemik ini dikenal pasti dan diambil tindakan segera demi menjamin operasi teras percukaian dapat diteruskan tanpa halangan.

Sabin turut berharap, hasil kutipan pada 2020 menjadi pendorong untuk membuat lonjakan berganda agar sasaran cukai pada 2021 berjumlah RM143.9 bilion dapat direalisasikan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, seluruh lapisan masyarakat serta warga LHDN kerana menjayakan usaha ini.