KUALA LUMPUR : Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) mengingatkan pemilik kenderaan, terutama kenderaan berat, yang menggunakan lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu agar bertanggungjawab terhadap perlakuan pemandu serta pekerja mereka sekiranya didapati gagal membayar tol sewaktu menggunakan lebuh raya.

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa sebuah syarikat logistik telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius apabila pemandu serta pekerja syarikat terbabit gagal  menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan.

Terdahulu, PLUS telah membuat tuntutan terhadap sebuah syarikat logistik, Berjasa Logistics Sdn Bhd melibatkan 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dipandu oleh pemandu-pemandu syarikat tersebut, dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berikutan rayuan syarikat Berjasa Logistics Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS.

"PLUS memandang serius tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol.

"PLUS juga memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini dan seterusnya memantau tindakan pemandu dan/atau pekerja mereka.

"Di samping itu, PLUS telah mengenal pasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat," kata kenyataan itu pada Khamis. 

Pada masa yang sama, PLUS juga berkolaborasi bersama-sama pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya.