Seramai lima orang ditahan dalam insiden pegawai Imigresen dipukul hingga cedera semasa menjalankan operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa pihak polis negeri Melaka untuk terus menjalankan siasatan bagi menjejaki saki-baki suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.

Menurut beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dalam hal itu dan selain dihadapkan ke mahkmah, tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang.

Khalid turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang penguatkuasa daripada menjalankan tugas bahawa tindakan tegas akan dikenakan kerana ini melibatkan nyawa penjawat awam.

“Ini satu tindakan yang amat tidak boleh diterima. Penguatkuasa dihalang daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dan bukan itu sahaja, malah dipukul pula oleh beberapa orang ini.

“Polis telah menangkap lima orang yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan beberapa orang lagi sedang dicari. Saya memberi amaran, jangan sesekali cuba menghalang penguatkuasa daripada menjalankan tugas mereka apatah lagi menggunakan kekerasan,” tegas beliau.

Khalid berkata, dalam kejadian itu, seramai 19 orang anggota dan pegawai imigresen dikepung oleh lebih 40 anggota samseng semasa menjalankan operasi di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya awal pagi Khamis lalu.

Perbuatan itu seolah-olah mencabar kewibawaan pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas.

Beliau yang ditemui semasa merasmikan Hari Kantin 2015 dan Pelancaran Alumni Sekolah Kebangsaan Mantin turut menegaskan bahawa pihaknya akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) terhadap mereka yang didapati terlibat dengan insiden tersebut.