KUALA LUMPUR: Kemunculan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai kini menjadi perhatian lebih-lebih lagi dengan penampilannya yang dilihat begitu sederhana.

Sejak pelantikan beliau pada Khamis lalu, apa sahaja yang dipakai atau digunakan oleh beliau semuanya menjadi tumpuan netizen.

Jom semak beberapa info menarik mengenai kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi bualan sejak lima hari lalu!

Kredit: Twitter Anwar Ibrahim


Pen Artline

Ketika istiadat angkat sumpah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat membawa pen sendiri untuk menandatangan watikah pelantikan. Apa yang menarik perhatian apabila beliau tidak menggunakan pen ‘custom made’ malah menggunakan pen berjenama Artline berharga sekitar RM 2.80 di pasaran.

Situasi ini turut menarik perhatian pengarah urusan Mydin, Datuk Amer Ali Mydin yang turut mengadakan promosi jualan di seluruh pasar raya itu bermula 25 November hingga 4 Disember.

Kredit: Anwar Ibrahim


Capal

Menerusi satu ciapan di Twitter, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menggayakan persalinan baju Melayu berwarna ungu, lengkap dengan samping dan songkok. Bukan itu sahaja, beliau turut menyarungkan sepasang capal ketika menghadiri mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang viral di media sosial. Segelintir netizen menulis bahawa martabat capal lebih tinggi berbanding kasut-kasut lain.


Cerakin

Sidang media beliau menjadi tumpuan selepas menggunakan perkataan 'cerakin' semasa sesi tersebut. Segolongan warga maya terus menggunakan enjin carian, Google untuk mengetahui maksud 'cerakin' yang disampaikan oleh Perdana Menteri semasa bercakap mengenai subsidi.

Menurut beliau, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh dua minggu untuk 'mencerakin' serta menelusuri implikasi berkaitan subsidi dan harga barangan. Ini kerana kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Kredit: Twitter Anwar Ibrahim


Tolak kereta percuma, ubah suai pejabat

Ahli Parlimen Tambun ini memberitahu tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya. Kata beliau, pembaziran boleh dielakkan di bawah pentadbirannya dan memaklumkan langkah itu sebagai mesej kepada ketua jabatan kerajaan yang lain untuk melakukan penjimatan.

“Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita,” katanya.