KUALA LUMPUR: Lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu kes pukul seorang lelaki di Lorong Ikan Emas 6, Ampang di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata dua lelaki dan tiga wanita yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan di sekitar Ampang dan Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, Johor pada Jumaat dan semalam.

Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa dan rakannya telah ke Ampang pada Selasa untuk berbincang mengenai isu salah faham berkaitan seorang daripada suspek.

"Dalam kejadian pada 10.15 pagi itu, suspek bertindak memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum dihantar oleh rakan mangsa ke Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan seorang daripada suspek tidak puas hati terhadap mangsa kerana dikatakan ingin membawa lari salah seorang suspek dan semakan telefon bimbit juga mendapati terdapat video kejadian mangsa dipukul.

Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dadah namun semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai sembilan rekod lampau dan satu rekod masih dikehendaki manakala yang lain tiada rekod lampau.

"Modus operandi suspek adalah dipercayai suspek lebih dari tiga orang telah memukul mangsa hingga mendatangkan cedera parah. Polis sedang mengesan dua lagi suspek masih bebas dan kesemua suspek direman direman tujuh hari hingga 2 Feb depan," katanya.

-- BERNAMA