PONTIAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menahan lima lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi lima serbuan berasingan di sekitar daerah ini, antara pukul 1 tengah hari hingga 7 malam, pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 36 tahun itu turut ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah heroin bernilai RM 61,104.

Katanya, mereka yang ditahan merupakan orang tengah yang mendapatkan bekalan dadah daripada pembekal sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Namun, hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Sebanyak 4.56 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM 61,104.00 yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 22,800 orang penagih.

"Kegiatan pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif beroperasi sejak bulan September tahun ini." katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.



Menurut beliau, serbuan menerusi Operasi Khas itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

Jelas Kamarul, hasil serbuan itu pihak polis turut menyita dua buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM13,500.

Manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah RM 74,604.00

"Untuk makluman, bermula 1 Januari sehingga 19 Oktober 2022, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 11,745 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam tempoh yang sama, pihak polis telah berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.95 tan dengai nilai anggaran RM 12.54 juta. Turut disita adalah harta bernilai RM 7.51 juta.

"Justeru, PDRM Johor berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222," tambah beliau.