KEMAMAN: Lima lelaki masing-masing dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dengan bermain sepak takraw pada Sabtu.

Mereka didapati bermain di sebuah gelanggang di Kampung Tuan, Chukai, di sini sekitar jam 6.15 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk proses pengeluaran kompaun.

"Lima individu terbabit dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana didapati melanggar syarat-syarat di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegah dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan ketika pelaksanaan PKP dengan beriadah di tempat awam," katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, enam lelaki masing-masing dikompaun RM1,500 selepas didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan dengan beriadah di tempat awam tanpa penjarakan fizikal.

Katanya, enam lelaki berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun itu dikesan melakukan kesalahan di sebuah kedai di Jalan Air Putih, di sini kira-kira jam 6 petang pada Ahad.

"Ketika ditahan enam lelaki terbabit dikesan berkumpul dan berbual di hadapan sebuah gerai bersama minuman tanpa penjarakan sosial.

"Kesemua mereka dibawa ke IPD Kemaman untuk proses pengeluaran kompaun," katanya.

Artikel asal di Sinar Harian: Lima lelaki lepas gian main takraw dikompaun RM2,000