WANGSA MAJU : Polis berjaya menyelesaikan kes rogol bergilir membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun di Seksyen 2, di sini dalam tempoh dua minggu, dengan penahanan lima lelaki termasuk abang ipar mangsa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, susulan penahanan abang ipar mangsa, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas di sekitar ibu negara dan Kelantan.

Menurutnya, pada Khamis lalu polis menahan seorang lelaki tempatan di Taman Melawati, di sini dan pada keesokan harinya dua lagi lelaki ditahan di Bachok, Kelantan sementara seorang lagi ditahan pada Sabtu di Setapak.

"Dengan ini, kita menahan lima lelaki yang berusia 25 hingga 32 tahun. Dengan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan kes ini dengan menangkap kesemua suspek yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Ashari memberitahu, kesemua empat suspek yang diberkas antara Khamis hingga Sabtu itu ditahan reman sehingga 13 September ini.

Menurutnya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.

Jika disabit salah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Sebelum ini, bapa kepada empat anak, yang juga abang ipar mangsa didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat dengan rakan-rakannya untuk merogol adik iparnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai diperkosa lima lelaki di rumahnya di Wangsa Maju,di sini kira-kira pukul 3.30 pagi pada 30 Ogos lalu. 

Mangsa ketika itu dikatakan sedang tidur dan hanya tersedar apabila tangan diikat oleh suspek sebelum dirogol bergilir-gilir.