KUALA KEDAH: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kedah, Datuk Salleh Saidin menyifatkan cadangan untuk meneroka alternatif penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di lokasi lain selain Langkawi sebagai 'membuang masa' dan tidak sepatutnya berlaku.
Tegas beliau, perkara utama yang perlu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ketika ini adalah menyelesaikan isu akses feri ke pulau pelancongan berkenaan selain mengembalikan semula status bebas cukai yang dimiliki sebelum ini.
Langkah itu jelasnya berupaya merancakkan sektor pelancongan di Pulau Langkawi selain memastikan tahap kesediaan pulau berkenaan bagi penganjuran acara-acara 'besar' peringkat antarabangsa berada pada tahap optimum.
Salleh turut menjelaskan bahawa pemilihan Langkawi sebagai venue penganjuran LIMA bukannya dibuat secara rawak ataupun satu kebetulan semata-mata.
Sebaliknya, pelbagai aspek telah dikaji dengan teliti terutamanya dari sudut kesiapsiagaan serta kesesuaian Langkawi bagi menganjurkan aktiviti yang melibatkan gabungan pelbagai industri seperti pertahanan, maritim, aeroangkasa dan pelancongan itu sendiri.
"Teruskan (penganjuran) LIMA itu (di Langkawi), ia perlu dikekalkan di tempat yang melahirkan identiti dia, iaitu Langkawi, itu yang saya ingin beritahu, tidak perlu usik kerja buat ini,
"Kalau kita kira Langkawi ini sukar diakses seperti destinasi (lain) di tanah besar ini, maka, benda yang perlu diselesaikan adalah selesaikan akses ke Langkawi bukannya buang satu program sebesar ini, buat di tempat lain, itu tidak sepatutnya (berlaku),
"Jadi, saya harap Kerajaan Persekutuan tengoklah benda-benda yang kita angkat (terutama dari) segi penyelesaian kepada masalah feri, kita (juga) nak balik (atau) kembalikan pulau bebas cukai yang pernah dinikmati oleh Langkawi (sebelum ini), semua ini adalah untuk membantu, untuk memperhebat lagi pelancongan di Langkawi (selain) tarik luar (berkunjung) dan datang ke Langkawi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Kubang Rotan, di Masjid Al Ummah, Telok Chengal, di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Salleh turut menyatakan bahawa cadangan yang dikemukan itu juga sedikit sebanyak telah menimbulkan keresahan terutama melibatkan pemain industri pelancongan di Pulau Langkawi.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Melaka pada masa depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, ia bagaimanapun memerlukan pelaburan besar daripada kerajaan bagi memastikan infrastruktur berkaitan dapat dilengkapkan dengan sempurna sebelum pameran itu boleh dilaksanakan.