KUALA LUMPUR:
Semuanya baik, tapi jangan hanya tinggal janji.

Begitulah rata-rata respons rakyat Darul Ehsan apabila ditanya tentang 53 program dan usaha menerusi Lima Tekad Untuk Lima Tahun yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan Selangor.

Bukan sekadar asal dilaksana semata-mata, mereka berharap supaya ia dibuat dengan baik dan lebih penting, manfaatnya benar-benar dirasai rakyat segenap lapisan masyarakat hingga ke akar umbi.

Bagi penunggang Grab Food, Hafiz Sohaimi, keupayaan mana-mana parti melaksanakan segala yang dijanjikan menentukan tahap kepercayaan rakyat kepada mereka.

Dia tidak menafikan segala kerja Kerajaan Perpaduan mahupun parti pembangkang di Selangor sebelum ini yang sedikit sebanyak memang telah membawa kesejahteraan kepada rakyat, tetapi masih ada banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat.

“Memang sebelum ini (mereka) bertindak, tapi lepas ini kalau boleh lebihkan lagi dan bukan setakat kata-kata.

“Tindakan itu biar nampak, biar rakyat rasa jadi nanti rakyat boleh pilih sama ada kekal atau tukar,” ujarnya.

Begitu juga harapan Hisham Idris, seorang pengusaha jualan kereta, yang menyambut baik segala tawaran yang diumum oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

“Pada kita rakyat ini, nampak semuanya baik tapi kita nak tengok bukti, biar jadi.

“Benda baik kita terima, tapi mintak lepas ini kalau sudah menang tu, kotakanlah janji,” katanya.

Pelbagai manfaat telah dinikmati rakyat Selangor, terutamanya para peniaga dan golongan rentan menerusi bermacam inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri itu dalam bentuk geran, insentif, bantuan kewangan serta barang keperluan, dan sebagainya.

Muhamad Salehudin Awang Ahmad adalah salah seorang daripada penduduk Selangor yang dipermudahkan perniagaannya dengan bantuan mendapatkan lori menerusi Skim Hijrah Selangor.

Bersyukur, pada masa sama dia berharap segala inisiatif yang diperkenalkan perlu dihebahkan dengan lebih meluas dan proses serta birokrasi dalam memperolehnya perlu lebih dipermudah.

“Memang banyak bantuan yang diberi oleh kerajaan negeri untuk peniaga macam saya, macam-macam skim.

“Cumanya hebahan kena buat lebih hebat, kadang-kadang ia tak sampai kepada pengetahuan rakyat,” katanya.

Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor merangkumi 53 program dan usaha di bawah lima kerangka yang disifatkan Amirudin sebagai satu ikhtiar yang tidak mustahil untuk dilaksanakan dan bukannya janji populis.


Harap dilaksana sebaiknya, dirasai sehingga akar umbi