PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata capaian rangkaian 5G di Malaysia kini ialah 73 peratus dan beliau yakin sasaran 80 peratus mampu dicapai menjelang akhir tahun 2023.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada Digital Nasional Berhad (DNB), kerajaan berada di landasan tepat dalam memastikan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G akhir tahun ini.

Biarpun berbaki tujuh peratus untuk mencapai sasaran itu, Fahmi berkata terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh DNB antaranya masalah tanah yang perlu diselaras dengan pihak berkuasa tempatan.

Fahmi berkata beliau telah meminta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

"Ini agar semua pihak faham bahawa 5G merupakan inisiatif nasional serta usaha bersama untuk melipatgandakan kemajuan dan pembangunan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital di sini hari ini.

DNB ditubuhkan pada 2021 untuk melaksanakan misi dan visi selaras dengan Rangka Tindakan Digital Ekonomi Malaysia (MyDIGITAL) antaranya mempercepat pelaksanaan infrastruktur serta rangkaian 5G dan merealisasi potensi 5G di Malaysia bagi memacu aktiviti ekonomi.

Fahmi berkata setakat September 2023, peratus penerimagunaan 5G dalam kalangan penduduk di Malaysia ialah 9.1 peratus dan angka itu adalah lebih baik berbanding 7.4 peratus pada Oktober lepas.

Beliau berkata faedah 5G juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika industri seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana memahami konsep rangkaian itu.

"Kita kena pastikan ikhtiar kerajaan untuk wujudkan lebuh raya data ini dimanfaatkan sebaik mungkin bukan hanya oleh syarikat besar tetapi juga pertengahan," katanya.

Mengulas isu penerimagunaan 5G, Fahmi berkata beliau telah mengadakan lawatan ke pusat gedung DHL yang menggunakan rangkaian itu bagi perkhidmatan robotik serta dron, dan antara maklum balas yang diterima ialah syarikat berkenaan boleh mengira hampir 8,000 pelet sehari menggunakan 5G berbanding 1,000 jika ia dikira secara manual.

-- BERNAMA