Skip to main content

Teknologi

Meta disaman kerana didakwa benarkan iklan 'scam' berleluasa

Sumber: AMANZ
Di Malaysia, isu berkenaan turut mencetuskan kebimbangan apabila imej tokoh terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Khairul Aming sering disalahgunakan dalam iklan palsu tanpa tindakan pantas yang didakwa daripada pihak Meta. -Foto Amanz

SANTA CLARA: Meta Platforms Inc, syarikat induk Facebook dan Instagram, berdepan saman sivil oleh daerah Santa Clara, California, atas dakwaan membenarkan iklan penipuan berleluasa demi meraih keuntungan berbilion dolar, lapor Amanz.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Santa Clara itu mendakwa Meta bukan sahaja gagal mengekang penipuan, malah sengaja mewujudkan “penghadang” dalaman bagi menyekat usaha pencegahan sekiranya tindakan itu menjejaskan pendapatan syarikat.

Dokumen tuntutan turut mendakwa Meta menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti pengguna yang mudah terperdaya dan seterusnya menyasarkan iklan palsu berulang kali kepada kumpulan berkenaan.

“Skala salah laku Meta telah mencapai tahap luar biasa dan ia perlu dihentikan,” kata Peguam Daerah/Ketua Peguam Santa Clara, Tony LoPresti dalam kenyataan yang dipetik laporan Reuters.

Siasatan dalaman yang didedahkan sebelum ini mendapati Meta menjana sehingga AS$7 bilion (kira-kira RM27.6 bilion) setahun daripada kategori iklan berisiko tinggi, termasuk penipuan pelaburan, perjudian haram dan pornografi.

Malah, saman itu mendakwa Meta mengenakan “penalti bidaan”, iaitu kadar pengiklanan lebih mahal ke atas pengiklan yang dikesan menjalankan penipuan bagi membolehkan kandungan mereka terus disiarkan.

Di Malaysia, isu berkenaan turut mencetuskan kebimbangan apabila imej tokoh terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Khairul Aming sering disalahgunakan dalam iklan palsu tanpa tindakan pantas yang didakwa daripada pihak Meta.

Pihak berkuasa Santa Clara menuntut ganti rugi sivil, pemulangan wang kepada mangsa yang terjejas serta perintah mahkamah bagi memaksa Meta mengubah amalan perniagaan pengiklanannya.

Setakat ini, jurucakap Meta dalam kenyataan kepada CNET menolak dakwaan itu sambil menegaskan syarikat berkenaan telah memadamkan lebih 159 juta iklan penipuan sepanjang tahun lalu.

Must Watch Video