MALAYSIA setakat ini memeterai perjanjian pembelian bersama tiga pembangun vaksin COVID-19 iaitu fasiliti COVAX, syarikat Pfizer-BioNTech dan terbaharu, syarikat Astra Zeneca.

Kini, jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus populasi sudah diperolehi meliputi COVAX, Pfizer dan AstraZeneca.

Sementara itu, kerajaan bakal memuktamadkan perjanjian dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan vaksin, mencecah hampir 83 peratus penduduk. 

Ini antara fakta anda perlu tahu mengenai perkembangan vaksin COVID-19 bagi Malaysia:

1. Pada 16 Nov 2020, kerajaan mengumumkan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin COVID-19.

2. Pada 22 Nov 2020, Malaysia menandatangani perjanjian dengan COVAX; vaksin bagi keperluan imunisasi 10 peratus rakyat.

3. Pada 24 Nov 2020, Malaysia menandatangani perjanjian awal dengan Pfizer; vaksin bagi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat.

4. Pada 21 Dis 2020, Malaysia menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca; vaksin bagi keperluan imunisasi 10 peratus rakyat.

5. Kerajaan sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi lebih 40 peratus lagi jumlah populasi negara.

6. Kerajaan memperuntukkan RM2.05 bilion bagi menampung pemberian vaksin percuma kepada 26.5 juta rakyat.

7. Kos yang ditanggung kerajaan bagi setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin ialah RM77.35.

8. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan jadi antara individu pertama menerima vaksin COVID-19.

9. Bekalan pertama 1 juta dos vaksin dari Pfizer dijangka diterima dan diberi kepada kumpulan sasar seawal Feb 2021.