Bukanlah mengejutkan apabila fokus utama di dada-dada akhbar utama tempatan hari ini ialah mengenai hukuman penjara ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tajuk-tajuk utama juga tampak tidak jauh beza daripada sudut suntingan akhbar masing-masing.

Antara yang menjadi perhatian ialah akhbar Berita Harian yang menjadikan “Kes Liwat Saiful, 20 Sebab Anwar Bersalah” sebagai tajuk muka depan, di samping menyenaraikan perkara penting berkaitan dengan kes itu.

Reaksi Saiful Bukhari turut mendapat liputan akhbar itu di bawah tajuk “Saiful Mahu Lupakan Kisah Hitam."

Sementara itu, “Anwar ke Penjara” menjadi tajuk utama akhbar Utusan Malaysia. Dada akhbar berkenaan turut menampilkan keputusan panel hakim dan gesaan kerajaan kepada semua pihak untuk menghormati keputusan mahkamah.

Sinar, Kosmo
Tajuk utama Sinar Harian dan Kosmo!

Sinar Harian tampil dengan tajuk “Berakhir” dengan tajuk sampingan reaksi Saiful "Berkat Doa, istiqamah."

Kosmo! pula memilih tajuk "Kesalahan, Hukuman Anwar Terkunci Mati," sebagai paparan muka depan.

Sementara itu, akhbar utama bahasa Inggeris tempatan turut menampilkan tajuk yang tidak jauh beza daripada segi temanya.

Gambar NST
Tajuk utama akhbar New Straits Times dan The Star

“5 Years ” (lima tahun) merupakan tajuk utama akhbar The New Straits Times yang tampil dengan gambar hitam putih Anwar.

Tajuk utama The Star adalah “Is this the end?” (Adakah ini akhirnya?) sebagai persoalan sama ada ini menjadi titik penamat perjalanan jauh Anwar dalam kerjaya politiknya.

LIHAT ALBUM KES LIWAT II: Anwar Ibrahim dipenjara lima tahun

Dalam pada itu, media antarabangsa turut melaporkan mengenai keputusan kes liwat ini.

Antaranya, media negara jiran Indonesia, Kompas melaporkan "Kasasi Ditolak, Anwar Ibrahim Akan Kembali Dipenjarakan".

Sementara itu, di Singapura, The Straits Times mempertaruhkan artikel bertajuk "Malaysian Opposition leader Anwar found guilty in Sodomy II case; 5-year jail term upheld".

Artikel itu juga disertakan dengan sebuah album gambar Anwar di Istana Kehakiman.

Berita ini turut menarik perhatian media asing di Amerika Syarikat, antaranya The Washington Post yang menggunakan tajuk "US ‘deeply disappointed’ by Anwar ruling in Malaysian."

The New York Times pula melaporkan kes ini di bawah tajuk "Malaysian Court Upholds Opposition Leader’s Sodomy Conviction."

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Laluan perundangan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu hukuman itu kini sampai ke penghujung, dengan pilihan terakhirnya ialah memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, kata pakar undang-undang.

Berikutan keputusan mahkamah, PAS akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam kalangan anggota parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sebelum membawa usul itu kepada majlis mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang.